Friday, May 30, 2008

Anak Kecil Main Api...

MMMM bantah kenaikan biasiswa bukan bumiputera 45 peratus

JOHOR BAHRU 29 Mei - Majlis Muafakat Melayu Malaysia (MMMM) tidak bersetuju dengan langkah kerajaan menaikkan kadar biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk bukan bumiputera kepada 45 peratus daripada 10 peratus mulai tahun ini.
Setiausaha Satu MMMM, Prof. Madya Datuk Zainal Abidin Borhan berkata, ini kerana kenaikan tersebut merupakan jumlah yang besar dan dianggap boleh menjejaskan hak dan faedah yang dinikmati oleh pelajar Melayu.
"MMMM berpendapat biasiswa perlu diberi kepada semua pelajar Melayu yang layak dan hak orang Melayu berkaitan itu tidak boleh diberikan kepada kaum lain," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohammed Nazri Aziz berkata, biasiswa JPA untuk program ijazah di luar negara kepada bukan bumiputera dinaikkan kepada 45 peratus mulai tahun ini berbanding 10 peratus tahun lalu.
Mohammed Nazri berkata, secara keseluruhan sebanyak
2,000 biasiswa disediakan oleh JPA iaitu 1,100 untuk bumiputera dan 900 untuk bukan bumiputera.
Zainal Abidin berkata, kenaikan biasiswa untuk bukan bumiputera kepada 45 peratus tidak wajar kerana ia hampir menyamai kadar 50 peratus yang dinikmati bumiputera.
Katanya, tindakan itu menggambarkan kerajaan seolah-olah memberi layanan sama rata kepada kaum lain dalam pemberian biasiswa dan dikhuatiri tidak mustahil pada masa depan kadar itu menjadi sama.
Tegasnya, kenaikan itu juga bertentangan dengan peruntukan Perkara 153, Perlembagaan Persekutuan berkaitan dengan Hak-Hak Istimewa Orang Melayu.
"Sepatutnya pemberian perlu menggunakan sistem kuota bumiputera 65 peratus berdasarkan jumlah penduduk Melayu dan 35 peratus untuk bukan bumiputera," jelasnya.
Sementara itu di KUALA LUMPUR, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) menuntut penjelasan daripada Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz mengenai langkah menaikkan biasiswa itu.
Setiausaha Agungnya, Khairul Anwar Mohd. Munir berkata, langkah itu amat memeranjatkan kerana dalam
Perlembagaan Perkara 152(2) dan 153(3) menyatakan dengan jelas pecahan biasiswa sebanyak 90 peratus kepada bumiputera dan 10 peratus untuk bukan bumiputera.
Beliau turut mempersoalkan kewajaran langkah tersebut memandangkan peratusan penduduk bumiputera di negara ini adalah lebih tinggi.
''Kedua, taraf kemiskinan dalam kalangan bumiputera juga adalah lebih tinggi berbanding bukan bumiputera.
''Dan dalam konteks pembabitan bumiputera di dalam sektor profesional, bumiputera masih jauh ketinggalan khususnya di Sabah dan Sarawak," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Khairul Anwar menambah, langkah seperti itu sama sekali tidak mencerminkan sebuah dasar yang dilaksanakan ke arah mewujudkan keadilan sosial di negara ini.
Menurutnya, dalam jangka masa panjang, keputusan itu hanya akan merugikan dan menyebabkan bumiputera terus ketinggalan.
Bagaimanapun, Majlis Belia Malaysia (MBM) menyambut baik langkah JPA menaikkan biasiswa kepada bukan bumiputera.
Presidennya, Datuk Shamsul Anuar Nasarah berkata, semua pihak perlu menerima hakikat bahawa terdapat golongan bukan bumiputera yang tidak berkemampuan.
''Bagaimanapun, JPA perlu memastikan hanya bukan bumiputera yang layak sahaja menerima biasiswa tersebut.
''Langkah ini juga membuktikan yang kerajaan tidak hanya membantu satu golongan sahaja tetapi semua kaum,'' katanya.

Ini nampaknya macam satu lagi langkah terdesak pentadbiran PL untuk tunjukkan keadilan sosial. Tanpa menafikan hak kaum lain yang juga masih ada yang miskin, nasib kaum BUMIPUTERA (bukan Melayu saja tapi terdapat berbagai etnik Bumipuera di Malaysia) semakin diperjudikan.

Kita setuju dengan Prof. Madya Datuk Zainal Abidin Borhan dan Khairul Anwar Mohd Munir memandangkan peratusan kaum Bumiputera adalah sangat-sangat melebihi kaum lain (yang juga rakyat Malaysia). Fakta yang harus diakui, peratus kemiskinan Bumiputera masih tinggi berbanding yang lain. Jadi apa akan jadi jika kuota 55% yang tinggal itu telah penuh? Sedangkan kuota 45% disediakan untuk bukan Bumiputera yang polarisasinya lebih rendah. Malah peratus kadar kemiskinan dan kemiskinan tegar bagi tahun 2004 ialah Bumiputera sebanyak 8.3 peratus, kaum India 2.9 peratus manakala kaum Cina 0.6 peratus.

Kita ingin berkongsi sesuatu. ADIL itu bukan maksudnya sama rata, sama rasa tapi memberi pertimbangan sepatutnya mengikut keadaan dan melakukan atau meletak sesuatu pada tempatnya.

Datuk Shamsul Anuar Nasarah...... ahhh!!! itu cakap politik. (Saya sokong!!)

Kepada DS Nazri Aziz (dan Melayu-Melayu yang dah kaya raya), sedarlah bahawa bukan semua Melayu bernasib baik seperti anda. Ramai yang masih melarat dan tidak terbela nasibnya.

No comments: