Friday, May 30, 2008

Antara Reform(asi) Dan Revolusi

UMNO sebenarnya dalam bahaya memerangkap diri sendiri. Kemasukan bekas anggota-anggota PKR boleh menyebabkan UMNO terus hanyut dengan agenda bekas bintang atau tahi bintang (mana yang berkenaan) UMNO sendiri, DSAI. UMNO harus bijak membezakan antara usaha-usaha reform dengan unsur-unsur revolusi. Maksud reform lebih kepada usaha-usaha pemulihan manakala revolusi menjurus kepada perubahan segera atau yang paling ekstrim, pemberontakan.

Pak Lah dalam keghairahannya untuk memenangi hati rakyat, setelah tamparan hebat PRU-12 lalu, perlu berhati-hati supaya tidak sebenarnya menjadi seperti burung kakaktua mengulangi laungan DSAI di dalam agenda reformasinya. Reformasi ala DSAI adalah lebih berpihak kepada revolusi yakni perubahan mendadak dan besar-besaran sesuatu keadaan. Manakala konsep "reforms" (atau reformasi) sebenar bukannya kerja-kerja yang dilakukan dan disiapkan dalam sehari tetapi merupakan usaha membanting tulang secara berperingkat-peringkat yang saya kira telahpun dimulakan oleh kepimpinan UMNO semenjak zaman penubuhannya lagi. Ianya bukannya kerja yang boleh disiapkan dalam sekelip mata tetapi perlukan perancangan dan perlaksanaan mengikut keadaan, masa dan tempat. Justeru, sebarang tindakan yang dilihat seperti menurut sahaja akan memberikan kemenangan awal kepada DSAI dan konco-konconya.

Bukankah sejak Negara mencapai merdeka lagi kerajaan yang ditunjangi oleh UMNO telah menjalankan pelbagai polisi demi ‘Tradisi Membela Rakyat’. Kita percaya tiada siapa yang sanggup menafikan kejayaan Dasar Pelajaran Kebangsaan, Dasar Pertanian Negara, Dasar Buku Hijau waima Dasar Ekonomi Baru sekalipun walau kebelakangan ini menjadi sasaran kritikan pembangkang. Siapa berani penuh untuk mengatakan dasar-dasar tersebut tidak memberi barang sekelumit faedah kepada rakyat Malaysia, bukan sahaja kepada Bumiputera malah kepada kaum-kaum lain.

Permulaan era kepimpinan TDM, Malaysia terus pesat membangun dengan dasar-dasar seperti Dasar Perindustrian, Dasar Pandang Ke Timur, Dasar Penswastaan dan sebagainya. Sejajar dengan perkembangan dan kesedaran Islamisasi global, TDM turut memperkenalkan Dasar Penerapan Nilai-Nilai Islam dan secara praktisnya Malaysia dikenali sebagai sebuah Negara Islam yang dinamik tanpa perlu melaung-laungkan sebarang slogan ke serata dunia.

Menjelang dekad kedua pentadbiran TDM, personaliti Malaysia terus menjulang tinggi. Bagi memartabatkan Negara Bangsa, TDM melaksanakan pelbagai pembaharuan dan projek pembangunan. Walaupun pada awalnya dikecam pelbagai pihak dan dicap sebagai pembaziran, tetap muncul dan tegaknya Menara KLCC, Putrajaya, KLIA, Sepang International Circuit dan sebagainya. Daripada sebuah negara kerdil, Malaysia menjadi mekar di pandangan Internasional. Inilah berkat visi dan wawasan kepimpinan terdahulu terutama TDM melaksanakan reform secara evolusi tetapi berkekalan nikmatnya. Malah tahap teknologi maklumat dan komunikasi di Malaysia kini amat mengkagumkan. Jika tidak, tiadalah laman-laman web dan blog yang anti kerajaan hingga menyebabkan menurunnya populariti Barisan Nasional dalam PRU 12. Bukankah sekarang hasilnya dinikmati bersama?

Apa bentuk, matlamat, halatuju dan kejayaan reformasi ala DSAI belum lagi kita ketahui. Hingga kini segalanya masih kelam; kelmarin putih, hari ni hitam, esok pula kelabu. Ya, hitam campur putih memang kelabu! Biasanyalah, produk segera atau ‘pasang siap’ ini rendah kualitinya kerana dihasilkan dalam keadaan tergopoh-gapah. Reform stail dan acuan UMNO secara "man-man" sudah terlaksana dan membuahkan hasil yang telahpun kita nikmati walaupun tanpa kita sedar (atau sengaja tidak mahu sedar). Apatah lagi untuk mensyukuri. Kalau ada sedikit cacat cela, perbaiki sajalah, sikit saja. Tak perlu tukar pun. Banyak elok lagi maa.

Tawarikh telah membuktikan tiada revolusi di alam maya manapun yang benar-benar berjaya sempurna tanpa kelemahan dan kekal bertahan lama. Maklumlah kategori produk segera; macam juga mee segera dan ‘artis-artis’ segera. Jadi, mana satu pilihan kalbu?

Ingat pesan orang tua-tua, “Berdentum guruh di langit, air tempayan dicurah jangan”. Sampai sampai jadi “yang dikejar tak dapat, yang dikendong keciciran”.

No comments: